HULU SELANGOR – Polis menerima sebanyak 12 laporan atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebanyak dua tangkapan telah dibuat berhubung kesalahan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong dan ubah suai logo UMNO dan DAP.
“Daripada penaman calon sehingga hari mengundi, cuma ada 12 laporan dan dua tangkapan. Itupun kita dah dakwa salah seorang yang menggunakan gambar Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.
Terdahulu, seorang warga emas, P. Ramasamy dijatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong dengan niat memeriahkn kempen pilihan raya.
Mengulas lanjut, kata Razarudin, beliau berpuas hati dengan proses pilihan raya berikutan tiada pihak membangkitkan isu sensatif membabitkan kaum, raja dan agama (3R).
Razaruddin berkata, hampir 200 permit telah dikeluarkan pihak polis sepanjang tempoh PRK DUN itu.
“Parti-parti politik yang memberi ceramah tidak (bangkitkan) isu sensatif. Memang kita lihat sangat aman dan tenteram,” jelasnya.
Tambahnya, aspek keselamatan juga dijamin dengan kekuatan yang mencukupi melibatkan 1,133 anggota dan pegawai.
“Ini bukan kali pertama PRK diadakan. kebanyakan anggota dan pegawai serta Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar sudah berpengalaman menguruskan pilihan raya.
“Ia termasuk menentukan keselamatan terutamanya bagi pengundi dan petugas pilihan raya untuk bertugas dengan selamat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE