HULU SELANGOR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) kali ini bakal diumumkan sekitar pukul 9 malam.
Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Dr. Azmi Sharom, pihaknya turut menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi hari ini melebihi 60 peratus.
Katanya, peratusan keluar mengundi bagi PRK selalunya lebih rendah berbanding peratusan yang dicatatkan pada pilihan raya negeri (PRN).
“Kita memang akan letakkan sasaran 70 peratus, itu perkara biasa. Tahun lepas di sini ketika PRN kita boleh lihat peratusan pengundi sekitar 67.
“Jadi, secara realistiknya, kami menyasarkan sekitar 60 peratus,” katanya ketika ditemui di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, peratusan turun mengundi agak memberangsangkan, mencatatkan sekitar 26 peratus pada pukul 11 pagi.
“Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan aman. Tidak ada apa-apa masalah.
“Akses untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di tempat mengundi juga saya dengar amat baik,” katanya.
Terdahulu, SPR memaklumkan DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.
Daripada jumlah tersebut, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
PRK kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (PH), Khairul Azhari Saut (PN), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser. – KOSMO! ONLINE