HULU SELANGOR – Sepasang suami isteri sanggup memandu sejauh 200 kilometer (km) dari Kuala Kangsar, Perak bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, hari ini.
Biarpun Abdul Rahim Bidin, 67, diuji penyakit strok manakala isterinya Noraini Mansor, 65, pula kanser, namun ia tidak menghalang pasangan itu mengundi yang mula dibuka pada pukul 8 pagi tadi.
Pasangan itu selesai membuang undi pada pukul 8.30 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khin Ming.
“Dulu (sebelum ini) kami menetap Batang Kali dan berpindah ke Kuala Kangsar 10 tahun lalu selepas saya bersara di Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Walaupun jauh, tapi ini tanggungjawab sebagai kami sebagai pengundi. Kami bergerak pukul 4 pagi tadi dan selepas ini terus pulang ke Kuala Kangsar,” katanya.
Justeru, Abdul Rahim berharap, wakil rakyat yang dipilih dapat membawa lebih banyak pembangunan di Kuala Kubu Baharu.
Sementara itu, seorang penjawat awam, Nor Adi Rusli, 40, tidak menyangka dia menjadi pengundi pertama. Dia bergerak dari rumahnya di Batang Kali ke pusat mengundi pukul 6.50 pagi.
“Patutnya saya boleh tukar (pusat) undi di Batang Kali tapi saya selesa mengundi di sini,” jelasnya.
Pesara tentera, R. Ganesan, 57, pula berharap semua pengundi di Kuala Kubu Baharu dapat melaksanakan tanggungjawab mereka hari ini.
“Tak (keluar) undi kita rugi sebab itu kewajipan kita. Harapan saya kemudahan di Kuala Kubu Baharu dapat ditambah baik terutamanya hospital,” jelasnya.
Sebanyak 18 pusat mengundi dengan 74 saluran dibuka pukul 8 pagi hari ini membabitkan 39,269 pemilih berdaftar pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, calon Pakatan Harapan (PN), calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong 21 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE