KUALA LANGAT – Lebih 700 jemaah dari Kampung Sawah Banting di sini berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Al-Islah di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang tiba kira-kira pada pukul 1.10 tengah hari mengenakan baju Melayu hijau muda lengkap bersamping.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan di sini disambut pengurusan masjid serta penduduk tempatan.
Perdana Menteri turut mendengar khutbah bertajuk ‘Murabbi Insani Generasi Luhur Budi’ sempena sambutan Hari Guru yang disampaikan Imam, Mat Sakeh Pawiro sebelum menunaikan solat Jumaat bersama jemaah yang lain.
Selesai solat, Perdana Menteri sempat meluangkan masa menyantuni jemaah masjid dengan bersalaman serta bergambar bersama mereka yang hadir sebelum makan tengahari di dewan bersebelahan masjid tersebut.
Perdana Menteri meninggalkan lokasi pada pukul 2.35 petang dan difahamkan menuju ke arah Pulau Carey untuk program seterusnya. – KOSMO! ONLINE