LONDON – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak dapat menyembunyikan kerisauannya terhadap cabaran yang diberikan Arsenal dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
City kini tiada pilihan lain kecuali perlu memastikan mata maksimum dengan memenangi baki tiga perlawanan bermula menentang Fulham di Craven Cottage malam ini.
“Jika kami memenangi semua perlawanan, kami akan bergelar juara dan pemain juga tahu situasi sekarang. Kami sudah merasakan keadaan ini dan pernah berdepan situasi sama pada musim terdahulu.
“Jadi sekarang kami perlu lakukannya sekali lagi. Adakah ia tugas mudah? Tidak, namun segalanya berada dalam tangan kami sendiri dan semua orang tahu yang kami tidak lagi boleh lakukan kesilapan.
“Kamu sendiri lihat konsistensi Arsenal sejak rehat musim sejuk, begitu juga dengan cara mereka bermain. Kami dapat rasakan yang mereka tidak akan alami sebarang kekalahan selepas ini,” katanya.
Arsenal yang memburu kejuaraan sulung dalam tempoh 20 tahun pastiya enggan melepaskan peluang terbaik selepas musim lalu mereka dihimpit kekecewaan pada saat-saat akhir saingan.
Bagaimanapun, Guardiola sedar cabaran yang menanti mereka memandangkan City hanya ada satu perlawanan di gelanggang sendiri iaitu aksi terakhir bertemu West Ham United di Stadium Etihad pada 19 Mei ini.
Daripada kedudukan semasa, City kini berada di tangga kedua dengan 82 mata, kurang satu mata berbanding Arsenal yang sudah pun beraksi 36 kali, namun mereka kelebihan satu perlawnan dalam tangan. – AGENSI