LEVERKUSEN – Pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso mengakui pasukannya layak untuk memburu gelaran trebel pada musim ini selepas mengesahkan kemaraan ke pentas final Liga Europa apabila menewaskan AS Roma dengan keputusan agregat 4-2 awal pagi semalam.
Pada aksi separuh akhir kedua di BayArena itu, Leverkusen dengan kelebihan 2-0 dimiliki pada pertemuan pertama dikejutkan dengan kebangkitan Roma yang menyamakan kedudukan agregat menerusi ledakan Leandro Paredes.
Namun, Leverkusen mempamerkan kelas tersendiri apabila bangkit dengan meledak dua gol hasil jaringan sendiri kapten Roma, Gianluca Mancini pada minit ke-80 sebelum Josip Stanisic memastikan jaringan penyamaan 2-2 di penghujung masa kecederaan.
Ia sekali gus memastikan Leverkusen kebal tanpa kalah dalam 49 perlawanan, sekali gus memadam rekod 59 tahun yang dipegang gergasi Portugal, Benfica yang mengharungi 48 aksi tanpa kalah dari 1963 hingga 1965.
“Kami sudah tidak sabar untuk mengharungi dua pentas final pada musim ini. Kami sudah berjaya menjulang Bundesliga dan sasaran seterusnya adalah Piala Jerman dan Liga Europa.
“Secara jujur, saya akui kami agak bertuah apabila Mancini menjaringkan gol sendiri ketika pasukan di ambang kekalahan dan saya tidak kisah bagaimana kerana apa yang penting kami berjaya melebarkan rekod tanpa tewas musim ini,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Roma, Daniele De Rossi mengakui hampa apabila harapan untuk membawa pasukan mara ke pentas final Liga Europa buat musim kedua berturut-turut tidak kesampaian. – AGENSI