SEBERANG PERAI – Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa menjadi antara sekolah pertama di Pulau Pinang yang dilengkapi Bilik Multisensori Pendidikan Khas (Bilik Snoezelen) khusus buat Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ruangan bilik terapi itu direka khusus untuk menenangkan, merehatkan, serta merangsang minat kanak-kanak mahupun dewasa yang mempunyai masalah berkeperluan khas.
“Bilik terapi multisensori ini amat sesuai digunakan oleh murid yang mempunyai masalah pembelajaran seperti autisme, sindrom Down, ADHD dan sebagainya.
“Terapi ini juga digunakan secara meluas dalam bidang pediatrik, materniti, psikiatri, strok dan kecederaan otak (Traumatic Brain Injury), penyakit kronik, dan penjagaan dementia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pada Majlis Perasmian Bilik Multisensori Able Perfect Sdn. Bhd. di Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa, Nibong Tebal di sini, hari ini.
Selain sekolah terbabit, tiga lagi sekolah di Perak turut menerima Bilik Multisensori iaitu SK Long Jaafar Kamunting, SK Seri Setiawan dan SK Pendidikan Khas di Ipoh.
Bilik terapi khas yang menelan belanja RM250,000 itu disumbangkan syarikat Able Perfect Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN). – KOSMO! ONLINE