PETALING JAYA – Bilangan penganggur di Malaysia pada Mac 2024 menurun sebanyak 0.1 peratus iaitu kepada 566,600 orang berbanding 567,000 orang pada Februari 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kedudukan ekonomi yang menggalakkan pada Mac 2024 membolehkan pasaran buruh negara mengekalkan pertumbuhan stabil.
Bagaimanapun, ujar beliau, penurunan bilangan penganggur itu tidak mengubah kadar pengangguran pada Mac 2024 seperti pada bulan sebelumnya iaitu 3.3 peratus.
“Bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan trend menaik mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.53 juta orang berbanding 16.51 juta direkodkan pada Februari 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas situasi pengangguran pada bulan berkenaan, Mohd Uzir berkata, sebanyak 79.7 peratus daripada jumlah bilangan penganggur pada Mac 2024 adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
Ujar beliau, kategori itu turun sebanyak 0.2 peratus merekodkan 451,500 orang berbanding 452,400 orang pada Februari 2024.
“Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.7 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.6 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
“Penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia naik sebanyak 0.4 peratus kepada 115,000 orang berbanding 114,600 orang pada Februari,” katanya.
Beliau berkata, pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun pada Mac 2024 kekal pada 10.6 peratus mencatatkan 306,300 orang.
Katanya, begitu juga kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun adalah 6.6 peratus,dengan bilangan penganggur belia seramai 434,500 orang.
Terdahulu, Mohd. Uzir berkata, bilangan tenaga buruh pada Mac 2024 terus mengukuh sebanyak 0.1 peratus merekodkan 17.1 juta orang berbanding 17.07 juta orang pada Februari 2024.
Jelas beliau, kadar penyertaan tenaga buruh meningkat sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.3 peratus berbanding 70.2 peratus pada Februari 2024 menunjukkan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran.
Tambah beliau, trend positif turut dilihat dalam kategori penduduk bekerja sendiri naik 0.3 peratus kepada 3.03 juta orang berbanding 3.02 juta orang pada Februari 2024.
Kata beliau, daripada segi sektor ekonomi, perkhidmatan terus merekodkan trend positif dalam bilangan penduduk bekerja terutama dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman dan aktiviti maklumat dan komunikasi.
Katanya, begitu juga bilangan penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian dan pertanian turut berada pada trend meningkat pada Mac 2024. – KOSMO! ONLINE