PETALING JAYA – “Saya tak halalkan sebab kami juga berhak terima royalti album Rockology.”
Demikian penegasan dan rasa kecewa Datuk Amy berhubung tindakan Noordin dan Kid yang sehingga kini ‘membisu’ mengenai royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection terhadap anggota Search termasuk dirinya, Nasir dan Allahyarham Yazit.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 66, mendakwa, album kompilasi terbabit dikeluarkan tanpa persetujuan anggota asal Search selain tidak mempunyai dokumen atau perjanjian mengenai pembahagian royalti.
“Kami juga berhak dapat royalti album Rockology Search: Kid’Din Collection Series yang mereka keluarkan tanpa pengetahuan saya dan Nasir.
“Banyak benda yang mereka langgar sedangkan mereka tahu tindakan itu salah. Paling tidak seronok apabila mereka cakap agihan royalti yang mereka ingin berikan kepada kami mengikut belas kasihan mereka.
“Untuk pengetahuan semua, album itu terkandung lagu-lagu yang kami mainkan bersama. Mereka sudah melanggar Akta Hak Cipta dan bagaimana nak bayar royalti kami sedangkan tiada perjanjian membabitkan saya, Nasir dan arwah Yazit,” katanya.
Jelas Amy lagi, apa yang dilakukan Din dan Din seolah-olah merompak hasil titik peluh anggota Search yang lain.
“Masa Covid-19 dulu, mereka ada beritahu hidup susah. Nasir cuba dapatkan kontrak digital dan bayaran penjualan barangan cenderahati sehingga setiap seorang berjaya mendapat kira-kira RM50,000.
“Kami akan berbincang dengan pihak peguam mengenai perkara ini kerana saya rasa apa yang mereka lakukan merupakan satu contoh yang tidak baik.
“Kalau dulu kita berkempen pasal cetak rompak, tapi hari ini kawan sendiri yang rompak hasil titik peluh bersama.
“Hari ini saya belum mati lagi, tapi kalau esok lusa sudah tiada, takkan anak dan isteri saya nak pergi jumpa dia. Jika anak arwah Yazit pun tak dapat (bahagiannya), apatah lagi saya,” katanya.
Kumpulan Search kini berpecah dua iaitu yang dianggotai pemain gitar adik-beradik, Noordin dan Kid serta satu lagi kumpulan dianggotai Amy, Nasir Daud (bass), Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang (gitar) yang turut menggunakan nama sama iaitu Search.
Diskografi Rockology Search : Kid’Din Collection Series yang mengandungi 17 barangan istimewa antaranya cakera padat kompilasi lagu berat mula dijual pada 17 November 2021 dengan harga RM299. – KOSMO! ONLINE