fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Pengundi digalak keluar ikut masa ditetapkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas SPR menjalankan persiapan awal menjelang hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu, di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

HULU SELANGOR – Pengundi digalakkan untuk keluar mengundi mengikut masa yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, esok.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, cadangan masa itu dibuat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.

Menurutnya, pengundi juga dinasihatkan membuat semakan awal maklumat pengundian berkenaan lokasi pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan mereka.

“Boleh lihat (maklumat) di laman sesawang MySPRSemak. Jadi kami nasihatkan kalau boleh keluar mengundi pada waktu dicadangkan bagi mengelak kesesakan.

“Kalau tidak boleh, tidak mengapa, cuma ikut waktu yang diwartakan antara pukul 8 pagi hingga 6 petang esok,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Pusat Penjumlahan Undi PRK Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.

Hari pengundian yang akan berlangsung esok mempunyai 18 pusat mengundi dengan 74 tempat mengundi atau saluran membabitkan 39,269 pemilih berdaftar.

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao, calon Pakatan Harapan (PN), calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, mendiang Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Dalam pada itu, Ikmalrudin berkata, persiapan PRK DUN itu berjalan lancar dengan semua ketua pusat mengundi sudah diberi taklimat menjelang hari mengundi, esok.

“Setiap semakan dilakukan hari ini bertujuan memastikan semua kelengkapan mengundi mencukupi.

“Petugas yang dilantik pejabat pengurus pilihan raya juga semua berpengalaman dan diyakini mampu menyelesaikan apa-apa masalah yang mungkin timbul esok,” ujarnya.

Mengulas mengenai dakwaan rasuah membabitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Ikmalrudin berkata, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Katanya, SPR juga belum menerima sebarang petisyen berkaitan setakat ini dan sebarang prosedur pemfailan hanya boleh dibuat selepas keputusan pilihan raya.

“Tidak ada (panggil Kor Ming). Kena faham apa-apa urusan mengenai kesalahan pilihan raya yang dikatakan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 akan diserahkan kepada polis.

“Ia juga boleh diserahkan kepada pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPR tidak melakukan siasatan kerana kita adalah badan bebas,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI