KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) meraikan 200 graduan lepasan ijazah sarjana muda dan sarjana di seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia dalam satu Majlis Kecemerlangan Akademik, semalam.
Dalam majlis tersebut, YBR telah menganugerahkan wang tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM200,000 berserta sijil penghargaan kepada graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian bermula Julai 2023.
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, anugerah tersebut diharapkan dapat membuka mata masyarakat mengenai bantuan pendidikan di bawah YBR yang mampu memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk berjaya di peringkat pengajian tinggi.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YBR atas komitmen yang berterusan dan tidak berbelah bagi dalam membantu mereka yang memerlukan serta gigih meningkatkan martabat pendidikan di dalam negara.
“Terima kasih juga kerana sudi menjemput saya dalam menyaksikan anugerah yang berprestij ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, pihaknya telah memberikan ganjaran wang tunai bernilai RM1,000 sebagai tanda penghargaan kepada pelajar yang telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan sepanjang tempoh pengajian.
“Anugerah Kecemerlangan Akademik ini merupakan salah satu usaha YBR bagi menghargai dan memberi inspirasi kepada pelajar untuk mencapai keputusan akademik yang terbaik serta menyokong agenda pendidikan negara dalam melahirkan modal insan mahir.
“Kali ini, seramai 187 graduan dari peringkat ijazah sarjana muda, manakala 13 graduan daripada peringkat ijazah sarjana telah tersenarai menerima anugerah.
“Anugerah ini diharapkan dapat memberi dorongan serta memotivasikan graduan untuk lebih berjaya serta membantu graduan yang telah berada dalam industri pekerjaan,” ulasnya.
Difahamkan, acara yang sudah memasuki tahun keenam ini telah menunjukkan peningkatan jumlah pelajar cemerlang setiap tahun.
Bermula dengan hanya 25 graduan pada tahun 2018, kali ini seramai 200 graduan telah berjaya menerima anugerah kecemerlangan dengan memperolehi pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5 ke atas.
Dalam majlis sama, YBR telah menyerahkan 25 komputer riba fizikal kepada 25 pelajar yang cemerlang matrikulasi tajaan YBR dikalangan B40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian IPT.
Inisiatif tersebut merupakan satu jalinan usaha bersama Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) yang telah bermula sejak tahun 2023 untuk memberikan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar cemerlang matrikulasi yang kurang berkemampuan untuk belajar dalam suasana pembelajaran yang kondusif.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan 50 pelajar cemerlang matrikulasi telah mendapat bantuan Pendidikan YBR sehingga kini. – KOSMO! ONLINE