PETALING JAYA – Penyanyi Shila Amzah selamat melahirkan cahaya mata perempuan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Menurut suaminya yang juga pempengaruh media sosial, Ubai, Shila kini berada dalam keadaan selamat selain berkongsi nama puteri sulungnya iaitu Rhea Akira.
“Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat bersalin. Gugur air mata dan sebak melihat isteri bertarung nyawa demi cahaya mata tercinta.
“Pengalaman pertama kali melaungkan azan pada cahaya mata kami, sungguh luar biasa. Perasaan yang tak dapat saya ungkapkan. Terima kasih ya Allah SWT atas rezeki yang kau berikan pada kami sekeluarga,” katanya dalam Instagram hari ini.
Dalam pada itu, dia berkata arwah ibunya, Rohani Jamal yang meninggal dunia akibat kanser ovari pada Julai tahun lalu pastinya akan gembira dengan kelahiran cucu sulungnya itu.
“Cucu pertama arwah mak dah selamat dilahirkan. Mesti arwah mak gembira. Takdir dan perancangan Allah itu sangat hebat.
“Akan kami jaga sehabis baik amanah dan rezeki yang kau berikan ini.
“Assalamualaikum puteriku, Rhea Akira,” ujarnya.
Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 4 Ogos 2023. Terdahulu Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Edraki pada 2018, namun berakhir dengan perceraian.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia 5 tahun. – KOSMO! ONLINE