MELAKA – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim meminta masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi ekoran insiden malang menimpa pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim yang disimbah asid baru-baru ini.
Menurutnya, kementerian tidak akan melayan sebarang khabar angin yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak dalam media sosial, kerana ia hanya mengeruhkan keadaan.
“Kita tidak akan layan sebarang spekulasi liar mengaitkan kejadian yang menimpa kesemua pemain bola sepak kebangsaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pra-Pelancaran Hari Belia Negara (HBN) di pekarangan Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini, hari ini.
Ketika ditanya sama ada insiden itu berkemungkinan ada kaitan dengan perasaan tidak puas hati peminat terhadap kepemimpinan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, Adam Adli menafikan dakwaan tersebut.
Tegasnya, aspek keselamatan terhadap pemain dan sebarang kejohanan yang dianjurkan kini menjadi keutamaan bagi semua persatuan sukan untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Terdahulu, beliau memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Hari Belia Negara (HBN) yang akan diadakan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir pada 25 Mei ini.
Menurut beliau, HBN Peringkat Kebangsaan yang disambut setiap tahun akan berlangsung selama tiga hari dari 24 hingga 26 Mei dengan tema ‘Yakin Boleh’ dan ia dijangka dihadiri kira-kira 30,000 belia dari seluruh negara. – KOSMO! ONLINE