KUALA LUMPUR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan beberapa pemain industri menganjurkan forum Collabsphere: Industrial Collaboration Programme (ICP) – The Government Value-Added Strategy dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad berkata, selain memberi tumpuan kepada elemen ekonomi, penganjuran itu bertujuan memupuk inovasi serta meningkatkan kecemerlangan akademik.
“ICP adalah paltform yang mana kita boleh teroka secara kolektif evolusi dasar ICP itu sendiri, impak dan potensinya untuk membentuk landskap kecemerlangan pendidikan.
“Dalam masa sama, forum ini berusaha mewujudkan sinergi antara akademik dan industri bagi memudahkan pertukaran pengetahuan, sumber dan kepakaran yang dimiliki oleh setiap industri terlibat,” katanya ketika berucap hari ini.
Forum itu dianjurkan bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 bertempat di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr. Azlinda Azman berkata, forum kali ini berjaya menghimpunkan ahli akademik, peneraju industri dan penggubal dasar untuk meneroka kepelbagaian pendidikan, inovasi dan kerjasama perindustrian.
“Forum ICP ini berfungsi sebagai bukti kepada kami (pendidikan tinggi) komitmen untuk memupuk hubungan simbiotik antara akademik dan industri,” katanya. – KOSMO! ONLINE