fbpx

Sabar menanti ‘NTC’ Harimau Malaya RM65 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PEMINAT bola sepak negara sememangnya sudah lama menanti kejayaan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa selepas melalui ‘fasa’ kegelapan sebelum ini.

Harapan yang tinggi telah diletakkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar Harimau Malaya bukan sahaja boleh dibanggakan dengan prestasi di atas padang, malah di luar padang.

Bagi prestasi di atas padang, ketika ini momentum skuad kendalian Kim Pan-gon itu sedikit ‘mendatar’ selepas gagal merekodkan sebarang kemenangan pada tahun ini.

Aspek di luar padang pula, apa yang ditunggu oleh penyokong setia bola sepak tanah air adalah fasiliti berkelas antarabangsa buat Harimau Malaya menjalani latihan seperti pasukan ternama di luar negara.

Bagaimana skuad kebangsaan mahu melangkah jauh jika pusat latihan kita masih ditakuk yang lama sedangkan negara-negara serantau sudah jauh meninggalkan kita daripada aspek fasiliti.

Sebagai contoh, Singapura sudah memiliki fasiliti latihan serba canggih di Pusat Bola Sepak Kallang, manakala Thailand pula ada Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) Nong Chok di Bangkok.

Jika di Eropah, negara-negara elit seperti Perancis pula menjalani latihan di Institut Bola Sepak Perancis, Clairefontaine dengan England pula NTC St. George’s Park di Staffordshire.

Bagaimanapun, sejak pelancaran dibuat oleh FAM pada 2019, status NTC yang bakal dibina di Presint 5, Putrajaya masih menjadi persoalan apabila projek berkenaan masih lagi tertunda.

Namun, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin optimis impian untuk menyaksikan terbinanya NTC buat Harimau Malaya menjadi realiti, sekali gus menaikkan martabat bola sepak negara di pentas antarabangsa.

“Cadangan untuk membina NTC sudah dinyatakan sejak 2018 lagi dan pusat latihan ini cetusan idea Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah untuk melihat ada pusat latihan canggih untuk skuad negara.

“FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) juga telah salurkan dana kira-kira RM21 juta dengan dana tersebut bakal digunakan untuk pembinaan fasa pertama.

“Saya harap kita boleh lihat NTC fasa pertama siap dibina sekurang-kurangnya pada 2026 atau awal 2027 nanti.

“Kemudian, baru kita siapkan fasa kedua selepas mendapat kelulusan dana daripada kerajaan RM45 juta.

“Fasa kedua merangkumi pusat latihan tertutup, gimnasium dan pusat latihan dengan projek keseluruhan akan siap sepenuhnya pada 2029. NTC ini mesti memiliki standard antarabangsa dengan tiga padang dan tiga jenis rumput berbeza akan dibina,” katanya kepada Kosmo!.

Dengan kos keseluruhan hampir RM65 juta, sudah pasti fasiliti NTC buat Harimau Malaya nanti menjadi salah satu yang terbaik di dunia.

Buat masa ini, hanya kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki fasiliti yang diiktiraf antarabangsa, Padang Seri Gelam yang dibina pada 2015.

Padang di Johor Bahru itu turut memiliki pusat perubatan serta pemulihan yang boleh digunakan barisan pemain.

Moga impian menyaksikan NTC baharu dibina buat Harimau Malaya menjadi kenyataan tidak lama lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI