PETALING JAYA – Pelakon jelita Ayu Raudhah telah mengumumkan bahawa dia kini sedang hamil anak kelima yang kini telah mencecah usia empat bulan.
Berita gembira itu telah dikongsi Ayu yang juga adik kepada aktres, Rozita Che Wan menerusi Instagram miliknya ketika menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-36 semalam.
Menerusi sekeping foto yang dimuat naik oleh ayu atau nama sebenarnya Raudhah Che Wan@Abu Bakar bersama suaminya, Zaquan Adha, pelakon tersebut mengumumkan berita kehamilannya menerusi tanda pagar #yesimpregnantagain (saya hamil lagi).
Ayu ketika dihubungi berkata, dia gembira dengan rezeki yang diberikan untuk menimang cahaya mata kelima walaupun tidak dirancang.
“Alhamdulillah atas kurniaan rezeki selepas disahkan hamil cahaya mata kelima. Suami pun tidak menyangka,” kata Ayu yang kini sedang bercuti di Pulau Langkawi.
Sementara itu, menerusi Instagram Zaquan, Rozita yang juga kakak iparnya telah meninggalkan komen bayi yang bakal dilahirkan itu nanti adalah jantina lelaki. Namun komen tersebut dibalas Zaquan yang menginginkan cahaya mata perempuan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikutnya turut berkongsi rasa gembira dan mendoakan supaya pelakon yang pernah membintangi drama Berlari Ke Bintang itu sihat dan selamat ketika bersalin nanti.
“Tahniah. Semoga selamat urusan bersalin nanti,” kata salah seorang peminatnya dalam Instagram.
Terdahulu, Ayu telah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Zaquan Adha Abdul Razak pada 21 Januari 2011 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, Muhammad Aisy Qaiser, 7, Muhammad Aisy Aryann, 6, Laura Zuleykha, 3, dan Muhammad Aisy Khaliq, 1. – K! ONLINE