KAPTEN skuad kebangsaan, Farhan Adam menimbangkan hasrat bersara sekiranya berjaya menumbangkan Thailand yang menjadi penghalang utama buat mereka menjulang Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bermula 18 Mei ini.
Selepas lebih 15 tahun bersama skuad negara, apit kiri berusia 35 tahun itu yang mempunyai pengalaman bersaing di tiga Piala Dunia bertekad memastikan kejayaan tersebut berjaya dijelmakan di hadapan penyokong sendiri.
Katanya, lebih manis sekiranya mereka dapat menjulang kejayaan Piala Dunia kali ini dalam acara berpasukan dengan membenam Thailand.
“Dalam bola sepak ada Piala Dunia dan sepak takraw pun ada. Tidak tahu lagi bila Piala Dunia Sepak Takraw ini ada, mungkin dua atau empat tahun lagi akan dianjurkan. Ketika itu, umur saya sudah berapa dan tak pasti boleh bermain lagi ataupun tidak.
“Dengan adanya kejohanan berprestij seperti ini, saya mahu mencapai dan julang piala tersebut sebagai kapten skuad sepak takraw Malaysia.
“Saya nak pastikan gelaran Piala Dunia mampu dicapai agar saya mampu tanda dalam diari koleksi kemenangan saya.
“Ketika ini tak memikirkan soal persaraan kerana selagi saya belum atasi Thailand, saya tetap akan berjuang. Salah satunya mengatasi mereka dalam acara berpasukan di Piala Dunia ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Malaysia sempena Piala Dunia Sepak Takraw 2024 lewat malam kelmarin.
Sementara itu, Farhan yang mengambil bahagian dalam acara berpasukan dan regu mengakui pentas final adalah satu kemestian yang perlu dicapai skuad negara.
“Sebenarnya, sasaran ke final adalah satu kemestian untuk kami berada di pentas tersebut dan tidak boleh jadikan satu tekanan,” ujarnya yang pernah membantu Malaysia menamatkan kemarau emas selama 24 tahun pada Sukan Asia 2018.