SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara sedia menggalas cabaran untuk mempertahankan kejuaraan Asia yang pernah dirangkul menjelang Piala Asia Hoki Dalam Dewan 2024 yang dijadualkan berlangsung di Kazakhstan penghujung bulan ini.
Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan negara, Mohd. Rodzhanizam Mat Radzi berkata, skuad kendaliannya kini mempamerkan prestasi cemerlang dalam aksi persahabatan menentang Thailand apabila memenangi kedua-dua perlawanan dengan keputusan 5-3, 7-1.
“Dalam perlawanan persahabatan di Thailand, kita telah mencuba pelbagai variasi sebagai persediaan ke Piala Asia nanti serta memperbaiki kekurangan dan kesilapan.
“Sasaran kita untuk mengekalkan kejuaraan Piala Asia yang pernah kita menangi pada 2022. Skuad perlu mendapatkan kedudukan kedua terbaik dalam peringkat kumpulan untuk layak ke perlawanan akhir,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga mengakui beberapa pasukan seperti Kazakhstan, Indonesia, Oman dan Thailand mungkin mampu memberikan saingan sengit buat negara berdasarkan prestasi semasa negara-negara itu yang semakin melonjak naik.
Bagaimanapun, skuad negara kekal fokus untuk mengawal rentak permainan dan tidak akan membenarkan pasukan lain membolosi gawang dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Asia kali ini.
Rodzhanizam juga memaklumkan masih dalam proses pemilihan barisan utama pasukan yang akan berangkat ke Kazakhstan dan berkemungkinan mengumumkan senarai akhir pemain selepas pulang dari Thailand.
Terdahulu, skuad negara mencipta sejarah apabila muncul juara buat kali pertama sewaktu Piala Asia 2022 selepas mengatasi Iran dalam aksi final, sekali gus memecahkan dominasi lawan yang menjuarai setiap edisi sejak diperkenalkan pada 2008.