ALOR SETAR – Keluarga Pegawai Waran II Allahyarham Muhammad Faisol Tamadun, 36, menghargai tindakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjelaskan secara telus dan terperinci laporan awal nahas helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada 23 April lepas.
Menurut kakak Allahyarham Muhammad Faisol, Noryani, 50, keluarganya juga telah reda dengan takdir tersebut meskipun kehilangan arwah masih diratapi terutama oleh anak-anaknya yang masih kecil.
“Laporan awal ini kami terima dengan baik. Alhamdulillah, kami sudah boleh terima takdir ini walaupun masih bersedih.
“Kami tunggu siasatan penuh selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Laporan akhir nahas itu dijangka siap pada 29 Mei ini.
Mengulas lanjut Noryani memberitahu, kehilangan Allahyarham itu masih dirasai oleh anak-anaknya terutama yang berusia enam tahun.
“Anak yang besar sudah boleh terima tetapi yang kecil itu masih tanya papa mana? Dia juga asyik demam. Anak-anak arwah kini masih berada di rumah keluarga isterinya di Sungai Petani.
“Kami sekeluarga juga sudah menerima dan ikhlas meredai pemergian arwah walaupun kadangkala masih terasa kehadirannya di rumah ini. Seolah-olah dia masih ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE