BATU GAJAH – Pembukaan kilang baharu Smart Paints Manufacturing Sdn. Bhd. (Smart Paints) bernilai RM100 juta di Kawasan Perindustrian Bemban di sini bakal menawarkan 200 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar termasuk Seri Iskandar.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan kilang yang dilengkapi teknologi terkini dengan sistem automasi Industri 4.0 itu sejajar dengan komitmen dan kesungguhan syarikat menuju kemajuan inovasi,teknologi semasa bagi meningkatkan kecekapan serta produktiviti.
“Tentu sekali pembukaan kilang ini akan melimpahkan rezeki kepada peniaga kecil dan membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan yang tinggal berdekatan.
“Sebanyak 200 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan melalui pembukaan kilang ini yang memberikan manfaat kepada penduduk khususnya yang tinggal di sekitar Batu Gajah dan Seri Iskandar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena majlis perasmian pembukaan kilang baharu Smart Paints di Kawasan Perindustrian Bemban di sini hari ini.
Saarani menerangkan, pembinaan kilang ini berupaya menggalakkan lagi aktiviti nilai tambah kepada penggunaan sumber mineral sedia ada yang banyak terdapat di dalam Negeri Perak khususnya batu kapur atau kalsium karbonat.
“Sebelum ini kilang Smart Paints memiliki sebuah kilang di Johor tetapi menggunakan sumber mineral dari Perak bagi penghasilan produk keluaran mereka termasuk mengeluarkan pelbagai jenis cat hiasan berasaskan air dan salutan pelindung untuk kegunaan di rumah dan industri.
“Susulan itu, sayap pelaburan negeri, InvestPerak telah mengambil langkah proaktif bagi meyakinkan pihak syarikat untuk melabur di Perak memandangkan sumber-sumber mineral yang mereka gunakan dalam pembuatan produk yang dihasilkan oleh kilang mereka di Johor datangnya dari negeri ini.
“Setelah melalui beberapa proses perundingan dan konsultasi, akhirnya pihak syarikat bersetuju untuk bertapak di Negeri Perak.
“Persefahaman yang dimeterai tentunya memberikan situasi menang-menang kerana syarikat dapat menjimatkan kos operasi dan sumber bahan mentah utama dalam industri pembuatan cat, manakala Perak dapat mengukuhkan lagi sektor mineral yang menjadi antara nadi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya. -KOSMO! ONLINE