PETALING JAYA – AIA Public Takaful Berhad (AIA Public Takaful) menyumbang sebanyak RM800,000 untuk menjayakan program Kongsi Rezeki bagi memberi manfaat kepada 15 rumah anak yatim terpilih.
Dana yang disalurkan bersama Malaysian Relief Agency (MRA) itu adalah untuk menyediakan bekalan harian, keperluan lain dan pelaksanaan aktiviti yang dapat meningkatkan kesejahteraan fizikal serta mental kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Ketua Pegawai Eksekutif AIA Public Takaful, Elmie Aman berkata, sumbangan itu mengukuhkan komitmen syarikat untuk memacu perubahan bermakna yang membawa impak positif kepada komuniti.
“Dengan peruntukan ini, kami bukan saja dapat memperluas jangkauan program malah impaknya, sekali gus memberi peluang kepada kanak-kanak ini untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.
“Kami berharap sumbangan ini dapat menjamin masa depan yang lebih cerah yang mana setiap kanak-kanak boleh memenuhi impian, tampil cemerlang dan berkembang maju dengan cara tersendiri,” katanya pada majlis rumah terbuka di sini baru-baru ini.
Pada majlis tersebut seramai 100 anak-anak yatim dan penjaga dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah, Rumah Kasih Nurul Hasanah dan Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman diraikan dan kanak-kanak menerima duit raya daripada pihak pengurusan syarikat.
Penjaga dan kanak-kanak daripada empat rumah anak yatim yang hadir pada majlis tersebut adalah antara 15 benefisiari yang disenaraikan di bawah program Kongsi Rezeki.
Melalui program berlainan, rumah anak yatim tersebut telah menerima sumbangan komputer riba selain barangan keperluan seperti katil, tilam, perkakas elektrik serta bekalan harian lain bernilai hampir RM500,000 untuk dimanfaatkan lebih 800 kanak-kanak. -KOSMO! ONLINE