HULU SELANGOR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan aspek keselamatan pada tahap tertinggi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Sabtu ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejumlah pasukan polis sudah diaturgerakkan bagi memastikan kelancaran sepanjang proses pengundian berlangsung.
“Pasukan polis sudah ‘deploy’ (diaturgerakkan) dengan kekuatan dianggap munasabah dan mencukupi dan komitemen ini akan diteruskan sepanjang hari pengundian.
“Ia bagi memastikan pemilih di Kuala Kubu Bharu dapat keluar (mengundi) dengan perasaan aman, tenang dan tanpa rasa bimbang. Ini adalah mesej pertama (disampaikan) kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, petang semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Isu Semasa di Bandar Utama Batang Kali, di sini malam tadi.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan persaingan empat penjuru melibatkan calon calon Pakatan Harapan, Pang Sock Tao, calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainuddin serta calon Bebas, Nyau Ke Xin.
SPR sebelum ini, memaklumkan seramai 760 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK Kuala Kubu Baharu dengan 18 pusat mengundi biasa serta 74 saluran melibatkan 40,226 pengundi berdaftar.
Sementara itu, Saifuddin berkata, bagi fasa kedua kempen, bilangan aduan yang diterima pihak polis adalah sangat sedikit dan tiada laporan yang dianggap mencemaskan.
“Kalau ada pun, satu kes berkaitan logo UMNO dan DAP digabungkan dan ia menjadi ‘basis’ (asas) siasatan polis. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pun menyebut cuma ada satu atau dua (aduan) dan ini adalah hasil pemantauan berterusan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.