JOHOR BAHRU – Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih pada hari esok.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memberi jaminan terhadap tahap keselamatan menerusi kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Hussin dan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar.
Katanya, polis akan memberi keutamaan keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan dan pihak polis akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota.
“Kami maklum dan kecewa dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih pada hari Jumaat ini (esok).
“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC.
“Kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan ini kerana ianya boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis DiRaja Malaysia,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Edwards berkata, pasukan JDT juga pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini.
Namun, pasukan Harimau Selatan tetap hadir ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis.
“Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini,”katanya.
Beliau berkata, meskipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, bagaimanpun pasukan perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar.
Terdahulu, Kelab Selangor FC menerusi kenyataan rasmi terpaksa membuat keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok.-KOSMO! ONLINE.