MADINAH – Seorang lelaki berusia 46 tahun tidak pernah menyesal jauh sekali mengeluh bekerja sebagai tukang cuci di Masjid Nabawi, sebaliknya menyifatkan peluang untuk berada dekat dengan Rasulullah SAW lebih mahal harganya berbanding pekerjaan lain.
Selain itu, kata Rohan Azhari, dirinya antara manusia bertuah dan bahagia apabila dapat memasuki Raudhah setiap hari.
“Sebagai seorang pekerja saya berpeluang memasuki Raudhah setiap hari. Saya lebih bahagia di sini dan tidak mahu mencari pekerjaan lain.
“Biarlah gaji sedikit tetapi saya dekat dengan Rasulullah SAW,” katanya.
Tambah Rohan, tukang cuci yang berkhidmat di Masjid Nabawi didominasi warga Bangladesh.
Rohan yang berhijrah dari Indonesia memperoleh pendapatan sebanyak 400 riyal (RM505) sebulan dengan bekerja selama lapan jam setiap hari.
Dia yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak di Lombok, Indonesia mengakui memperoleh pelbagai pengalaman berharga sepanjang hampir 15 tahun berkhidmat sebagai tukang cuci di masjid berkenaan.
“Letakkan agama nombor satu dan dunia di belakangnya. Selepas itu nanti barulah perkara lain menyusul dan Allah SWT bagi apa yang kita inginkan.
“Itu antara perkara yang saya yakin sampai bila-bila.Sebab itu saya tidak kisah untuk bekerja di sini (Masjid Nabawi),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE