Oleh IKHWAN IDERIS
SUBANG JAYA – Cabaran ekonomi pasca Covid-19 tidak menghalang AirAsia melalui jenama makanan dan minuman, Santan untuk mengembangkan operasinya dengan sasaran pembukaan 15 restoran baharu dalam tempoh enam bulan.
Pengurus Besar Santan Food Sdn. Bhd., Catherine Goh berkata, permintaan tinggi dan sokongan padu yang diberikan pelanggan menyebabkan pihaknya positif untuk mengukuhkan kehadiran dalam industri makanan dan minuman tempatan.
Menurut beliau, pelaksanaan sistem francais untuk restoran Santan menjelang suku keempat tahun ini akan turut membantu mempercepatkan pertumbuhan syarikat.
“Buat permulaan, kami akan memfokuskan pembukaan restoran berbentuk francais di sekitar Lembah Klang, sebelum mengembangkan operasi di kawasan lain seperti Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Sehingga kini, kami telah mencapai jualan lebih daripada RM1 juta dan melihat kepada persekitaran semasa, kami yakin jumlah tersebut dapat digandakan menjelang hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis pelancaran cawangan kedua Santan di pusat beli-belah Sunway Pyramid di sini semalam.
Menurut Catherine, pembukaan restoran pertama Santan di Mid Valley Megamall Disember lalu mendapat sambutan cukup baik dan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan, operasi restoran berkenaan tetap berjalan dengan memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran makanan.
Malah katanya, meskipun restoran tersebut kini telah dibuka sepenuhnya, hanya 30 peratus daripada jualan adalah daripada segmen makan di restoran, manakala 70 peratus selebihnya dibungkus.
“Kami kini memiliki tiga dapur satelit di Shah Alam, Petaling Jaya dan Cheras yang memfokuskan kepada perkhidmatan penghantaran makanan dan sebuah lagi dapur satelit bakal dibuka di Seri Kembangan.
“Untuk tempoh terhad, kami menawarkan fi francais pada harga RM50,000 dan pakej francais keseluruhan bermula daripada 350,000, bergantung kepada saiz kedai,” katanya.