KOTA BHARU – Polis menahan sepasang suami isteri apabila mereka memiliki senapang jenis Rifel AK47 bersama 142 peluru yang dipercayai telah digunakan untuk menembak mati dua ekor gajah liar di Kampung Bahagia dekat Kuala Krai dua tahun lalu.
Pasangan yang masing-masing berusia 50 tahun itu, ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota D8 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, kira-kira pukul 3.10 pagi kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Datuk Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu, anggota polis menemui selaras Rifel AK47 bersama kelopaknya dan 142 biji peluru hidup jenis 12 Bore 5.56 milimeter.
“Suspek lelaki mengaku dia merupakan pemilik senapang itu yang digunakan untuk menjaga tanaman. Siasatan mendapati, suspek pernah menggunakan senapang itu untuk menembak mati dua gajah liar yang menganggu di kebun getahnya seluas enam hektar.
“Suspek dipercayai mendapat senjata api itu daripada seorang rakannya yang tinggal di Tanah Merah lima tahun lalu.,” katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, berdasarkan keterangan suspek, kali terakhir suspek menggunakan senapang itu untuk menembak mati dua ekor gajah tersebut dua tahun lalu.
Katanya, selepas kejadian itu, kebun suspek sudah tidak diganggu gajah.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga Sabtu depan untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya. – K! ONLINE