fbpx

Sindiket urus 52 PATI pulang ke negara asal digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pendatang asing tanpa izin (Pati) di dua rumah inap desa di Sabak Bernam, Selangor dan Telok Intan, Perak, semalam.

KUALA LUMPUR – Cubaan 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyeludup keluar ke negara asal melalui laluan laut dipatahkan dalam serbuan di dua rumah inap desa di Sabak Bernam, Selangor dan Telok Intan, Perak, semalam.

Op Pintas itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula kira-kira pukul 7 petang.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seramai 52 PATI warga Indonesia berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun ditahan di dua lokasi berbeza.

Menurutnya, turut ditahan adalah empat lelaki iaitu dua warga Indonesia dan dua tempatan dipercayai berperanan sebagai ejen, transporter dan penjaga rumah penampungan.

“Serbuan pertama di Sabak Bernam bertindak menahan 33 PATI termasuk 11 wanita, manakala lokasi di Telok Intan berjaya menangkap 19 PATI lelaki.

“Siasatan awal mendapati penyeludupan ini bagi membawa migran ini keluar dari Malaysia untuk ke Indonesia melalui laluan laut di kawasan Sekinchan, Sungai Besar, Sabak Bernam dan Hutan Melintang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lokasi serbuan terbabit membabitkan geng yang sama iaitu Geng Ajoe.

Katanya, siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti sejak bila sindiket ini aktif selain rangkaian yang terlibat.

“Empat suspek yang berperanan sebagai ejen, transporter serta penjaga rumah terbabit akan Seksyen 26 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 terhadap migran yang ditahan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI