SIK – Gara-gara terlalu mengikut aplikasi Waze, seorang pemuda tersesat di kawasan kebun getah dan kelapa sawit di Felda Teloi Kanan, di sini selama lebih enam jam, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah abangnya di Sungai Petani selepas beraya di rumah rakannya, di Sungai Lalang, dekat sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, lelaki itu berjaya menghubungi bomba selepas berusaha mencari liputan telekomunikasi di kawasan kebun tersebut kira-kira pukul 7 pagi tadi.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada mangsa, anggota bomba bergegas ke lokasi untuk melakukan penyelamatan dan mangsa ditemui dalam keadaan lemah pada pukul 8.10 pagi tadi.
“Mangsa beritahu ketika kejadian, dia menunggang motosikal Honda RS seorang diri, namun tidak menyangka akan tersesat sehingga ke kebun getah dan ladang kelapa sawit berkenaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa hanya berpandukan aplikasi Waze untuk pulang bermalam di rumah abangnya di Sungai Petani, namun tersesat lebih 10 kilometer dari jalan utama.
“Mangsa mendakwa pandangannya menjadi gelap sebaik menyedari telah tersesat menyebabkan dia panik dan cuba mencari jalan keluar tetapi tidak jumpa.
“Dia juga melalui jalan berselut dan tanah merah selain cuba menghubungi pihak bomba tetapi gagal kerana tiada liputan. Dia hanya berjaya menghubungi bomba pada pukul 7 pagi setelah berusaha mencari liputan,” ujarnya.
Menurutnya, mangsa juga mendakwa terdengar bunyi binatang buas dan ‘lembaga’ sepanjang berada di dalam kebun getah dan kelapa sawit.
“Mangsa ditemui dalam keadaan ketakutan, menggigil dan menangis teresak-esak,” jelasnya.
Tambahnya, lelaki itu yang mengalami luka-luka kecil dihantar ke Klinik Kesihatan Teloi Timur untuk mendapatkan rawatan. – KOSMO! ONLINE