fbpx

Suami isteri syukur dapat tunai haji lepas 4 kali tertangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian bakal jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama iaitu dari Kedah ke Kuala Lumpur sebelum menaiki penerbangan seterusnya KT001 ke Madinah pada pukul 12.05 tengah malam ini. - Foto SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Sepasang suami isteri bersyukur kerana dapat menunaikan haji pada tahun ini setelah empat kali terpaksa menangguhkan hasrat itu.

Pasangan terbabit, Razali Hussin Razali, 70, dan isterinya, Rokiah Bakar, 60, merupakan antara 142 bakal jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama KT001K dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini.

“Alhamdulillah, hanya lafaz syukur yang saya dan isteri mampu ungkapkan apabila impian kami menunaikan fardu haji akhirnya tercapai pada tahun ini.

“Sudah lama sebenarnya kami menunggu detik ini dan empat kali juga kami telah tolak panggilan suci ini disebabkan faktor anak-anak yang masih bersekolah dan hutang yang banyak ketika itu.

“Kini semuanya sudah lapang dan kami harap dapat beribadah sebanyak mungkin sepanjang berada di Mekah dan Madinah serta dikurniakan kesihatan sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Penerbangan pertama dari Kedah berlepas pada pukul 7.55 malam ini ke Kuala Lumpur sebelum menaiki penerbangan seterusnya KT001 ke Madinah pada pukul 12.05 tengah malam.

Sementara itu, Eshah Ahmad, 47, menyatakan hasrat untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin yang sedang bergolak akibat peperangan ketika berada di hadapan Kaabah nanti.

“Hati saya terusik melihat suasana yang berlaku di Palestin. Jadi peluang ini saya mahu gunakan sebaik-baiknya untuk mohon doa dan pertolongan daripada Allah SWT,” katanya.

Eshah yang berasal dari Guar Chempedak, Yan, dekat sini berkata, dia menunggu selama 15 tahun untuk mendapat giliran menunaikan haji setelah mendaftar pada 2009.

“Saya dan suami, Khairuddin Babjan, 50, tidak dapat tidur lena malam tadi kerana teruja untuk berangkat ke Tanah Suci hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Tabung Haji Stesen Alor Setar, Mohd. Hanifah Kamarudin berkata, seramai 1,562 bakal jemaah akan berlepas dari Alor Setar bermula hari ini hingga 17 Mei depan.

“Secara keseluruhan terdapat 11 penerbangan dijadualkan dari LTSAH dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dijangka mencemar duli untuk berangkat menghantar kumpulan jemaah terakhir pada 17 Mei ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI