BEIJING – Sekumpulan pengembara yang mendaki Gunung Yandang di timur China terkandas di laluan tebing gunung berkenaan ketika menuju ke puncak gara-gara terlalu ramai pendaki, lapor saluran berita CNN semalam.
Imej pendaki dalam keadaan ‘tergantung’ di tebing gunung menjadi tular di media sosial negara tersebut, baru-baru ini.
Ia memaparkan mereka mereka menunggu pendaki lain berjalan di sepanjang anak tangga logam yang dipasang di tebing Gunung Yandang selama lebih sejam.
“Ini amat menakutkan! Seseorang seperti saya yang takut ketinggian mungkin hanya berpeluh di sana!” tulis seorang netizen.
“Saya tidak akan pergi walaupun saya ditawarkan wang tunai untuk melakukannya,” tulis seorang pengguna lain.
Pihak yang mengendalikan laluan gunung itu, Wenzhou Dingcheng Sports Development Co., Ltd., berkata, ia telah tersilap membuat anggaran pengunjung yang berminat untuk mendakinya.
Menurut syarikat itu, disebabkan kesilapan tersebut, kekurangan kawalan trafik seperti sistem tempahan tiket dan pengurusan menyebabkan pendaki terkandas di laluan pendakian. – AGENSI