fbpx

Kes bunuh Zayn Rayyan tidak pernah dilupakan – Shuhaily

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zayn Rayyan.

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan pihaknya masih mengharapkan petunjuk baharu berkaitan kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang berlaku Disember tahun lalu.

Jelas beliau, kes tersebut masih aktif dan terdapat anggota polis berada di lapangan berusaha menyelesaikan kes tersebut.

“Seperti yang selalu saya katakan, kita tak pernah tutup mana-mana kes, namun malang sekali, selepas ganjaran ditawarkan pun kami masih tidak menerima petunjuk baru.

“Saya faham masyarakat tak puas hati dengan perkembangan kes ini, tetapi macam saya sebut kita tak pernah lupa kes itu dan ia adalah hutang saya kepada masyarakat,” katanya mengulas perkembangan terkini Zayn Rayyan pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.

Tambah beliau, menjadi harapannya untuk menyelesaikan kes pembunuhan itu sebelum tamat perkhidmatan dalam pasukan.

“Sekiranya saya pencen tanpa selesaikan kes, itu akan jadi kegagalan saya. Kita (polis) sudah cuba yang terbaik dari pelbagai sudut tetapi tiada petunjuk yang jelas.

“Kita harap kes ini masih ada sinar dan kehadiran orang ramai ketika kejadian berkemungkinan memusnahkan bukti-bukti yang ada. Berkemungkinan,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Petaling Jaya sebelum ditemui meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya.

Kanak-kanak autistik itu disahkan dibunuh selepas terdapat kesan kecederaan pada lehernya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI