fbpx

K2

Ibu bapa wajib ganti jika pakai duit raya anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEMBERIAN duit raya kepada kanak-kanak merupakan salah satu tradisi pada Aidilfitri. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan, apakah hukum ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak, selain daripada keperluan anak mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan: Haram bagi ibu bapa menggunakan duit raya anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.

Sekiranya ibu bapa sudah menggunakan duit raya anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.

Pada sambutan perayaan Aidilfitri, kebiasaannya anak-anak ada menerima duit raya daripada kaum keluarga, sahabat handai, jiran dan tetamu yang datang berkunjung ke rumah.

Oleh yang demikian, duit raya yang diterima itu menjadi hak milik anak-anak tersebut dan mereka boleh sama ada menggunakannya atau menyimpannya.

Dalam pada itu, disebabkan kekurangan mereka dalam kemahiran mengurus wang, maka ibu bapalah yang diamanahkan untuk menjaga atau menyimpan duit raya tersebut. Lantas timbul persoalan, adakah ibu bapa boleh menggunakan duit raya tersebut tanpa perlu menggantikannya?

Secara umumnya, hukum mengambil harta orang lain tanpa sebarang keredaan ataupun keizinan daripada pemilik adalah haram. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (Surah al-Nisa’, 29)

Dalam hal ibu bapa menguruskan harta anak-anak, pada dasarnya, ibu bapa wajib menguruskan harta anak-anak terhadap perkara yang mendatangkan kebaikan kepada mereka sahaja. Hal ini termasuklah menyimpan dan menjaganya dengan baik serta tidak pula menggunakan harta tersebut untuk tujuan lain.

Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadis Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini.” (Riwayat al-Tirmizi, 2159)

Jumhur fuqaha iaitu mazhab Syafi’i, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa bapa tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja.

Oleh itu, jelas di sini bahawa ibu bapa yang menggunakan duit raya anak mereka untuk tujuan selain daripada keperluan atau maslahat anak itu sendiri, maka ia hendaklah diganti semula. Hal ini kerana, bersikap kedekut atau berlebihan dalam menguruskan harta anak adalah berdosa.

Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit raya anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan memerlukan sahaja. Sekiranya ibu bapa sudah menggunakan duit raya anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka wajib ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI