fbpx

‘Ayah pesan suruh jaga ibu jika dia tiada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANAK sulung arwah, Nur Ielfa Syahirah Md. Rizal menyiram air mawar ke atas pusara ayahnya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam hari ini. Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/KOSMO!

SHAH ALAM – “Pada pagi hari kejadian, ayah berpesan kepada saya supaya menjaga ibu sekiranya dia sudah tiada lagi (meninggal dunia).”

Itu antara pesanan yang dititipkan Allahyarham Md. Rizal Atan, 47, yang maut selepas dihempap pokok besar di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur semalam buat anak keduanya.

Muhammad Irfan Farish, 16, berkata, dia tidak menyangka kata-kata itu menjadi pesanan terakhir arwah bapanya supaya menjaga ibunya, Norpahidah Mat Zaman, 43.

Menurut remaja itu, arwah begitu rapat dengan semua anaknya terutama adik ketiganya dan bongsu.

“Kalau dia balik lewat sekali pun, dia (arwah bapa) akan sentiasa mencari masa untuk berbual dengan saya dan adik-beradik lain. Selepas ini kami akan merindui jenaka arwah ayah kerana dia memang periang dan suka membuat lawak,” katanya.

Muhammad Irfan ditemui pada majlis pengebumian arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini hari ini.

Jenazah arwah Md. Rizal selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang dan dihadiri oleh ahli keluarga, kenalan dan majikannya.

Bercerita lanjut, Muhammad Irfan berkata, dia sekeluarga dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pihak berkuasa pada pukul 6 petang kira-kira empat jam selepas insiden tersebut berlaku.

“Apabila mendengar berita itu, hati ini luluh, namun kami sekeluarga kuatkan semangat menerima berita sedih ini.

“Kami sekeluarga bergegas ke Hospital Kuala Lumpur selepas pihak berkuasa memaklumkan jenazah arwah ayah dibawa ke sana bagi proses bedah siasat,” katanya.

Muhammad Irfan berkata, dia akan belajar bersungguh-sungguh seterusnya bekerja bagi menyara keluarga.

Arwah Md. Rizal maut selepas sebatang pokok besar berusia lebih 50 tahun menghempap kereta jenis Mercedes-Benz yang dipandunya di Jalan Sultan Ismail.

Difahamkan, semasa kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pemandu peribadi dalam perjalanan menjemput seorang tetamu di sebuah hotel di ibu negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI