LEVERKUSEN – Bayer Leverkusen hanya selangkah lagi untuk melangkah ke final Liga Europa musim ini menjelang separuh akhir kedua menentang AS Roma di BayArena awal pagi esok selepas menang 2-0 dalam aksi pertama di Rom, Itali minggu lalu.
Jurulatih Leverkusen, Xabi Alonso berjaya memimpin skuadnya hingga mencapai gelaran Bundesliga pertama serta berjaya mengendalikan pasukan itu masih dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini.
Juara Bundesliga itu akan bertemu sama ada Atalanta atau Marseille di Dublin, Ireland pada final yang dijadualkan 23 Mei ini sekiranya mereka berjaya melepasi aksi 90 minit tanpa sebarang kekalahan.
Sekiranya Leverkusen mengelakkan kekalahan menentang Roma, mereka akan memegang rekod tanpa kalah terpanjang dalam sejarah bola sepak Eropah sejak 1965 iaitu 49 perlawanan dan menjadi pilihan utama untuk merangkul trofi pertama Eropah sejak kali terakhir menjuarai Piala UEFA pada 1988.
Ketika ini Leverkusen berkongsi rekod tanpa kalah dengan Benfica yang tidak kalah dalam 48 perlawanan dilakukan dari 1963 hingga 1965.
“Cabaran besar. Hanya dua perlawanan lagi dan jika kami berjaya, ia akan menjadi hampir sempurna. Kami akan cuba melakukannya,” kata Alonso.
Dalam masa sama, Leverkusen yang memegang rekod tanpa kalah dalam 48 perlawanan musim ini juga perlu mengekalkan kedudukan dan mengelak daripada kekalahan dalam baki dua aksi liga untuk menjadi pasukan pertama memegang rekod itu dalam kempen Bundesliga.
Sebagai rekod, Leverkusen berpotensi bergelar juara trebel sekiranya melangkah ke final Liga Europa kerana mereka turut berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala DFB menentang Kaiserslautern pada 26 Mei nanti. –AGENSI