PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon tetap menjadi pilihan terbaik untuk melatih pasukan kebangsaan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bercadang untuk menggantikan jurulatih itu.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, keputusan yang dijelmakan Pan-gon bersama skuad kebangsaan boleh dianggap lulus ujian kerana ranking negara menunjukkan peningkatan ketara di bawah kendaliannya.
“Apa yang diminta olehnya betul dan saya tidak kisah. Boleh dikatakan berbaloi melantiknya, tetapi bukan senang kerana dalam dunia ini bukan semua perkara kita boleh dapat. Dia sudah beri sehabis baik dan kita juga kena lihat apa kualiti yang kita ada.
“Orang boleh beri pandangan, tetapi adakah kita ada jurulatih (lain) yang boleh buat lebih baik? Jika dia pergi, bukan senang untuk pilih jurulatih baharu yang sesuai dengan bola sepak, pemain dan persekitaran kita.
“Dia (Pan-gon) kekal, selepas (khabar angin) tersebar saya tanya dia adakah dia mahu berhenti? Dia kata tidak. Ini semua hanya agenda pihak lain untuk keruhkan keadaan dan kontrak dia sampai tahun depan,” katanya.
Sebelum ini wujud dakwaan mengatakan bekas pengendali Vietnam, Park Hang-seo masih menjadi calon hangat mengisi jawatan jurulatih Harimau Malaya sekiranya Pan-gon ‘mengangkat kaki’.
Sementara itu, Hamidin juga menjelaskan pihaknya mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM12 juta setahun untuk membiayai kos Harimau Malaya.
“Kos untuk menyertai kejohanan diaggarkan RM6 hingga RM8 juta setahun. Tetapi, kena ingat kos sebenar mencecah sehingga RM12 juta yang kita belanjakan untuk Harimau Malaya,” katanya.