SEREMBAN – Sepasang suami isteri masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memiliki 10,000 unit ubat batuk dengan menyalahgunakan cap dagang jenama Dynapharm, tahun lalu.
Tertuduh, James Ooi Joe Behn, 41 dan isterinya, Cheong Yin Ying, 39, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah atas semua pertuduhan dihadapi mereka bagi kapasiti individu, pengarah dan wakil syarikat selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, bagi mencapai niat bersama tertuduh telah didapati mempunyai dalam kawalan mereka bagi maksud perdagangan sebanyak 8,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah bagi imej dan perkataan Dynapharm di bawah Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] yang dijumpai di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Pertuduhan seterusnya, James Ooi yang mewakili syarikat Fedes Sdn. Bhd. manakala Yin Ying mewakili Rasa Ria (M) Sdn. Bhd. didapati mempunyai dalam kawalan mereka bagi maksud perdagangan sebanyak 2,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah bagi imej dan perkataan Dynapharm.
James Ooi turut berdepan pertuduhan selaku pengarah syarikat Fedes Sdn. Bhd. mempunyai dalam kawalan mereka bagi maksud perdagangan sebanyak 2,000 unit ubat batuk jenama Dynadryl Syrup yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah bagi imej dan perkataan Dynapharm.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pada pukul 12.50 tengah hari di Jalan Perindustrian Mantin 2, Kawasan Perindustrian Ringan Batu 8, Mantin, dekat Nilai di sini pada 15 Disember 2023. Berikutan itu, mereka melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta 815. – KOSMO! ONLINE