fbpx

Hafizuddin mahu teruskan aksi cemerlang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZUDDIN (kiri) beraksi cemerlang menyelamatkan penalti stroke New Zealand ketika Malaysia mencatat kemenangan 6-4 semalam. - FARIZ RUSADIO

IPOH – Penjaga gol skuad hoki lelaki negara, Muhammad Hafizuddin Othman berharap mampu terus mengulangi persembahan cemerlang untuk perlawanan keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 menentang Jepun di Stadium Hoki Azlan Shah malam ini.

Jika Malaysia berjaya menewaskan skuad Samurai Biru, maka mereka akan berada pada landasan tepat untuk mara ke pentas final, meskipun memiliki satu lagi baki perlawanan menentang Korea Selatan pada Jumaat.

Aksi cemerlang penjaga gawang berusia 31 itu adalah faktor utama membantu kemenangan 6-4 ke atas New Zealand semalam,

Hafizuddin berjaya menafikan penalti stroke kedua dilakukan Jonty Elmes pada penghujung suku kedua.

“Penalti stroke itu memang saya pilih untuk menuju kepada satu arah sahaja iaitu kanan walaupun yang pertama saya tewas, tetapi kali kedua bola itu memang ke arah sama dan saya berjaya menahan bola itu.

“Ketika itu ada 18 saat sebelum tamat suku kedua, jadi memastikan bola itu tidak masuk adalah sangat penting, kerana kita tidak boleh masuk ke bilik persalinan dengan melepaskan gol kepada mereka,” katanya.

Hafizuddin turut mengakui bahawa bimbingan jurulatih penjaga gol, S Kumar pada sesi latihan pukulan penalti stroke banyak membantunya.

Tambahnya, keserasian pertahanan negara yang diketuai kapten pasukan, Marhan Jalil bersama Syarman Mat Tee dan Shafiq Hassan semakin baik dari semasa ke semasa.

“Sebelum ini memang ada menerusi perlawanan-perlawanan sesama kami untuk main pukulan penalti stroke.

“Kita tengok daripada perlawanan pertama kombinasi mereka semakin serasi kerana untuk aksi peringkat antarabangsa kita baru bermain tiga perlawanan.

“Dalam perlawanan tadi (semalam) pun kita tengok memang kerap mereka melakukan pintasan, jadi saya rasa kalau diberikan masa lagi mereka boleh akrab untuk pertahanan,” ujarnya.

Untuk rekod, sepanjang 34 perlawanan membabitkan Malaysia menentang Jepun, 23 kemenangan memihak kepada Speedy Tigers dan enam buat Samurai Biru, manakala lima berakhir dengan keutusan seri sejak pertemuan pertama pada 1973.

Jepun yang masih memegang rekod tanpa kalah di PSAS edisi ke-30 ini, melihat perlawanan menentang Malaysia bakal memberi kesukaran kepada pemain-pemainnya.

Ketua jurulatih Jepun, Yoshihiro Anai juga mengingatkan anak-anak buahnya untuk mengawal ketat penyerang Malaysia, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang telah mencipta dua hatrik pada kempen PSAS kali ini.

“Malaysia pantas dan berkemahiran. Kami telah bermain banyak kali sebelum ini dan kini kami sedang membina pasukan ini. Perlawanan (semalam) menentang Pakistan adalah pantas dan sukar… jadi kita boleh jangkakan aksi sama akan dipamerkan Malaysia.

“Bagi saya, pemain nombor 23 (Azrai) sangat berbahaya kerana dia pernah menjaringkan gol ketika bertemu Pakistan dan Kanada,” katanya.

Jepun kini berada di tangga kedua selepas terikat 1-1 dengan Pakistan yang kekal menerajui kedudukan teratas di mana kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata, namun perbezaan gol menjadi pemisah, manakala Malaysia di tempat ketiga dengan enam mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI