SHAH ALAM – Khabar angin mengatakan Faisal Halim bakal ‘gantung but’ seakan tidak munasabah apabila pemain itu dijangka mampu kembali beraksi di lapangan.
Walaupun hanya bertubuh kecil, keazaman dan mentaliti pemain itu cukup luar biasa kerana kekal bermotivasi untuk meneruskan kariernya sebagai pemain profesional.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar, berkata setakat ini belum ada jaminan tempoh yang diperlukan oleh Faisal untuk kembali bermain bola sepak.
“Saya yakin dia mampu bangkit tetapi harus diingat, apa yang dia lalui dan trauma dihadapinya ini bukan mudah kerana bukan sahaja membabitkan aspek fizikal tetapi aspek psikologi juga.
“Saya fikir dia memerlukan kira-kira enam bulan tetapi bukan untuk kembali ke tahap kecergasan maksimum tetapi sekurang-kurangnya dia berada di tahap di mana dia boleh memulakan sesuatu untuk bermain.
“Tiada jaminan (bangkit) cuma Allah sahaja boleh bagi jaminan. Cuma secara peribadinya, saya yakin dia boleh kerana kita tahu orangnya kecil tetapi dia ada semangat, saya rasa semangat saya pun tak sampai macam dia,” katanya.
Terdahulu, Shahril mengiringi Raja Muda Selangor yang juga Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah melawat Faisal yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi.
Shahril juga menegaskan pihaknya hanya mahu yang terbaik untuk memastikan segala keperluan Faisal dapat dipenuhi.
“Kalau ikutkan yang dimaklumkan oleh doktor, kita mahu yang terbaik untuk dia namun biasanya kos ini babitkan kos tinggi. Tetapi Raja Muda sendiri beri jaminan supaya tidak perlu risau, jika perlu pihak istana akan tanggung,” katanya. – KOSMO! ONLINE