fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PH manfaatkan media sosial tarik pengundi luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sock Tao (kanan) bergambar bersama Kita Siang pada program Kopitiam Talk di Kuala Kubu Baharu, hari ini. Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan (PH) akan memanfaatkan platform media sosial sebagai strategi untuk menarik pengundi luar pulang mengundi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Sabtu ini.

Pang Sock Tao, 31, berkata, peratusan keluar mengundi merupakan cabaran paling besar bagi memastikan kemenangan PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

“Untuk strategi ini, kami rakam video dalam pelbagai bahasa untuk menyeru khususnya golongan muda balik mengundi. Saya telah rakam video dalam bahasa Mandarin, Hakka dan Hokkien.

“Sebelum ini, pemimpin PH juga turut berucap dalam pelbagai bahasa menunjukkan betapa penting PRK ini bagi Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas program Kopitiam Talk di Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Turut hadir pada program itu, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Dalam PRK Kuala Kubu Baharu, Sock Tao yang bertanding dalam pertembungan empat penjuru ditentang calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari, calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei ini.

Dalam pada itu, Sock Tao turut menafikan dakwaan jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membantunya dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Menurut anak kelahiran Ampang itu, Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sudah membuat kemunculan sebanyak empat kali sepanjang tempoh kempen berlangsung.

“Begitu juga semalam, satu forum yang dianjurkan PKR dengan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar. Jadi, hakikatnya, dakwaan itu tidak benar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI