KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail.
Menerusi tinjauan Kosmo! mendapati pihak DBKL mula melakukan aktiviti pembersihan di kawasan tersebut sejak lewat petang tadi.
Penutupan jalan juga turut dilaksanakan oleh pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Menurut petugas yang melakukan kerja-kerja pembersihan memaklumkan, pembersihan pokok dikawasan itu dijangka selesai pada lewat malam ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang lelaki tempatan maut dan seorang lagi cedera setelah terbabit dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 petang tadi, seterusnya seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.
Susulan kejadian itu, Rapid KL memaklumkan terdapat kelewatan tren ekoran kejadian pokok tumbang antara stesen Bukit Nanas dan Raja Chulan, manakala tiada perkhidmatan monorel di antara Stesen KL Sentral dan Medan Tuanku. -KOSMO! ONLINE.