fbpx

[VIDEO] ‘Mangsa pokok tumbang terbongkok, sakit sangat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APM dan kakitangan Hotel Concorde membantu mangsa yang cedera susulan pokok tumbang di di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hari ini. - Foto Dasilla Hanapi

PETALING JAYA – “Seorang mangsa keadaannya terbongkok, dia macam sakit sangat,” kata Norzira Syarini Mohammed Auzi, 38, bercerita suasana selepas insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di dalam kafeteria Hotel Concorde dan kemudian dimaklumkan pekerja di situ berhubung kejadian pokok tumbang di hadapan hotel.

“Ingatkan pokok biasa-biasa sahaja dan saya terus keluar sebab risau kereta ‘parking’ di situ. Rupanya pokok yang tumbang memang besar dan nampak akarnya juga tercabut.

“Ketika itu hujan lebat dan ribut. Pokok itu turut tumbang di landasan monorel selain menimpa kenderaan, bahkan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

“Suasana panik seketika dan kami risau serta tertanya-tanya adakah ada mangsa cedera atau meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Norzira Syarini yang juga usahawan berkata, keadaan panik itu kemudian terkawal selepas anggota penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan bomba tiba di tempat kejadian.

“Ketika itulah ada mangsa yang dibawa masuk ke hotel, keadaannya terbongkok dan dia seperti sakit sangat. Cuma kami dimaklumkan ada mangsa meninggal dunia dan orang ramai tidak boleh pergi berdekatan,” katanya.

Seorang pengurus pemasaran, Dasilla Hanapi, 37, berkata, ketika kejadian dia tidak mendengar bunyi dentuman memandangkan lokasi kafeteria itu terletak di bahagian belakang hotel.

“Kemudian dengar ‘kecoh-kecoh’ mengatakan pokok tumbang. Saya ingatkan monorel yang jatuh, rupanya pokok tersebut tumbang. Saya nampak bumbung kawasan pejalan kaki juga tercabut,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang lelaki tempatan maut dan seorang lagi cedera setelah terbabit dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.19 petang tadi, seterusnya seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul dikejarkan ke lokasi kejadian.

Susulan kejadian itu, Rapid KL memaklumkan terdapat kelewatan tren ekoran kejadian pokok tumbang antara stesen Bukit Nanas dan Raja Chulan, manakala tiada perkhidmatan monorel di antara Stesen KL Sentral dan Medan Tuanku. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI