BARCELONA, SEPANYOL – Seorang juruterbang lagak ngeri maut selepas seekor burung hering merempuh tingkap pesawatnya, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Olivier Masurel, 42, terbunuh pada Ahad lalu ketika dalam penerbangan pulang ke Madrid dari San Javier, wilayah Murcia, apabila pesawatnya berlanggar dengan burung tersebut.
Dia dilaporkan baru selesai membuat persembahan dalam satu pertunjukan udara.
Pesawat Masurel terbakar ketika ia mencecah tanah, manakala gambar yang dikeluarkan oleh perkhidmatan bomba menunjukkan mayatnya rentung.
“Kami berasa sedih dengan berita nahas maut yang dialami Olivier Masurel, seorang juruterbang akrobatik yang menyertai festival udara ini.
“Seekor burung hering merempuh kokpit, menyebabkan dia terbunuh, manakala nahas berlaku selepas pertunjukan berakhir,” kata penganjur Pertunjukan Udara San Javier. – AGENSI