fbpx

Pemandu pelancong perlu tingkatkan kemahiran bercerita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman bersama Mohamad Zabawi melawat reruai yang terdapat pada majlis perasmian Seminar Kebangsaan Agro Pelancongan 2024 di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. FOTO AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Integrasi semua pemain industri terutama pemandu pelancong perlu dilakukan dalam meningkatkan agro pelancongan bagi menyaingi pelancongan di Thailand.

Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr. Azman Ismail berkata, Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan namun kalah dari segi ilmu, maklumat dan kebolehan cerita serta mengabungkan pelancongan bersejarah dan agro pelancongan.

Katanya, ini kerana agro pelancongan tersebut yang berunsurkan pertanian perlu menarik semua generasi dalam sesebuah keluarga melancong ke negara ini.

“Sebab saya tengok di Thailand, ‘human factors’ adalah paling besar. Semua yang terlibat dalam sektor di Thailand sama ada yang membakar ayam atau ikan keli melakukan kerja yang cukup baik berbanding di Malaysia.

“Pemandu pelancong dan orang yang menggalakkan pelancongannya adalah sangat bagus sehingga boleh menawan hati dan boleh bercerita dengan baik dari satu produk ke satu produk pelancongan mereka,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar Kebangsaan Agro Pelancongan 2024 di sini, hari ini.

Menurut beliau, pertumbuhan sektor agro pelancongan merupakan salah satu tonggak penting dalam memperkasakan ekonomi negara.

Ujarnya, terdapat sembilan Taman Agroteknologi MARDI setakat ini dengan keunikannya masing-masing seperti di Tanjong Karang adalah padi, Kuala Kangsar (Durian) dan Cameron Highland ada pokok teh paling tua dan kilang teh paling awal di Malaysia.

“Pelancong berminat ke tempat-tempat sebegini adalah kerana mereka berpeluang melakukan aktiviti seperti memetik sendiri buah-buahan, menanam atau menuai padi dan didedahkan cara mengurus ternakan serta hasilannya.

“Potensi dalam sektor agro pelancongan ini harus digali dan dikukuhkan dengan kerangka strategi yang lebih efektif dan komprehensif sehingga mampu menangani ancaman dan cabaran masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani menjelaskan lima daripada sembilan Taman Agroteknologi tersebut telah dilancarkan setakat ini.

“Antara belum dilancarkan adalah di Kluang, Johor berdasarkan ternakan dan Jeram Pasu, Kelantan berasaskan tanaman buahan.

“Kita melihat sebenarnya kalau di stesen-stesen MARDI itu mempunyai teknologi boleh diketengahkan, kita boleh ‘convert’ kepada agro pelancongan. Namun, kita tidak tinggalkan fungsi stesen itu sebagai sokongan kepada perancangan dan pembangunan (pertanian),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI