BEIJING – Satu serangan berlaku di sebuah hospital di barat daya China, mengakibatkan lebih 10 orang mati atau cedera, manakala jenis serangan masih tidak dinyatakan.
“Insiden itu berlaku di sebuah hospital tempatan dan setakat pukul 1.20 petang (waktu tempatan), lebih 10 orang cedera atau terbunuh,” lapor agensi berita Xinhua.
Menurut Xinhua, serangan berlaku di daerah Zhenxiong, wilayah Yunnan, manakala pihak berkuasa masih melakukan siasatan.
Imej yang disiarkan oleh laman berita milik pemerintah, The Paper menunjukkan seorang lelaki mengacukan pisau ke arah lelaki lain yang memegang kayu di lobi hospital.
Beberapa pegawai polis turut tiba di tempat kejadian.
“Ia berlaku sekitar pukul 11 pagi (waktu tempatan), keadaan selepas serangan masih huru-hara dan pihak hospital masih menentukan jumlah (mangsa),” kata seorang penduduk tempatan kepada The Paper.
Jenayah keganasan besar-besaran jarang berlaku di China berikutan larangan keras untuk rakyat memiliki senjata api.
Namun, terdapat beberapa kejadian tikaman berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP