PETALING JAYA – Scoot, anak syarikat penerbangan tambang rendah bagi Singapore Airlines telah memulakan operasi pertama pesawat Embraer E190-E2 dengan pelancaran rasmi di Lapangan Terbang Changi, Singapura hari ini.
Para tetamu yang menghadiri acara itu berpeluang melihat secara langsung reka bentuk dalaman pesawat E190-E2, yang mengandungi 112 tempat duduk dalam konfigurasi satu kelas 2-2, dengan ruang duduk standard 29 darjah dan tingkap kabin yang lebih besar.
E190-E2 juga merupakan pesawat laluan tunggal yang paling senyap dan cekap bahan api dalam industri pada masa ini.
Pesawat E190-E2 pertama Scoot akan berlepas pada penerbangan perasmian ke Krabi dan Hat Yai hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Leslie Thng berkata, E190-E2 dengan keupayaan pengendalian moden dan kelayakan yang cekap bahan api merupakan pilihan pihaknya dalam pencarian untuk penambahan pesawat.
“Kami yakin dengan pesawat generasi baru ini, kami akan terus mengukuhkan kehadiran di kawasan ini sambil meningkatkan kebolehsambungan kami ke destinasi bukan bandar serta menyediakan pengalaman perjalanan lebih baik buat pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pesawat E190-E2 kedua Scoot juga telah tiba di Singapura dan berada dalam fasa terakhir penyediaan untuk operasi.
Tujuh lagi pesawat dijangka akan dihantar secara berperingkat menjelang akhir tahun 2025. – KOSMO! ONLINE