INSTITUT Sukan Negara (ISN) bersedia memberikan perkhidmatan sokongan sains sukan secara percuma kepada tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim yang dilaporkan dalam keadaan membimbangkan gara-gara disimbah asid oleh individu tidak dikenali, Ahad lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memastikan Faisal mendapat sokongan yang mencukupi sepanjang tempoh pemulihannya.
“Pihak ISN akan memberikan segala perkhidmatan sokongan termasuk fisioterapi secara percuma apabila diperlukannya bagi membolehkan dia kembali pulih secepat mungkin.
“KBS (Kementerian Belia dan Sukan) akan bekerjasama dengan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) untuk memastikan Faisal mendapat rawatan yang secukupnya untuk kembali pulih.
“Saya percaya kalau kita ada semua tenaga pakar yang membantu, dia boleh pulih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KBS dan Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli, berkata pihaknya akan menyediakan satu program berstruktur khas untuk Faisal bagi membolehkan dia kembali beraksi.
“Ia meliputi perkhidmatan fisioterapi, psikologi, nutrisi dan sebagainya. Kita mahu memastikan semua elemen ini dapat dilaksanakan secara berstruktur untuk dia kembali dalam latihan bola sepak.
“Kami juga akan melakukan analisis terperinci mengenai kecederaan yang dialami pada otot atau kehilangan jisim otot semasa tempoh dia melakukan pemulihan serta sepanjang tempoh ketiadaan latihan.
“Semua ini akan dibuat berdasarkan data dan siasatan daripada pakar bagi membolehkan kami merangka program pemulihan untuk dia kembali beraksi,” katanya.