PUTRAJAYA – Negara kehilangan kira-kira RM277 bilion dalam tempoh lima tahun berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akibat jenayah rasuah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, angka yang cukup besar ini sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutamanya pelaksanaan projek sosial seperti baik pulih hospital dan sekolah.
“Kalau dibahagi lima (angka kerugian itu) puratanya lebih kurang dalam RM55 bilion setahun. Jadi, jumlah ini yang kita semua perlu yang perlu kita selamatkan. Angka daripada segi kos yang boleh dijimatkan dan bukannya pendapatan.
“Kalau kita dapat selamatkan wang-wang begini ia akan dapat membahagiakan kita semua,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini hari ini.
NACS 2024-2028 dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang berakhir pada Disember 2023.
Azam berkata, NACS diyakini dapat mencapai sasaran terutama dalam membanteras rasuah dengan menggariskan strategi berkaitan terutama dalam skop pengoperasian dan penguatkuasaan.
Beliau berkata, semua agensi, kementerian, jabatan kerajaan akan dilibaturuskan untuk melihat kepada pelbagai banyak perkara tatakelola termasuk isu-isu reformasi undang-undang.
“Reformasi undang-undang ini law perlu dilihat oleh semua jabatan kerana ia sebenarnya banyak melambatkan pembangunan negara kita kerana dia melibatkan banyak birokrasi dalam negara kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE