fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: ‘Pilihan raya ini tugas terakhir saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Ghani ketika ditemui selepas meninjau pusat mengundi awal sempena PRK Kuala Kubu Baharu, hari ini. Foto M FRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

HULU SELANGOR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu menjadi tugasan terakhir Tan Sri Abdul Ghani Salleh selaku Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bakal bersara, Khamis ini.

Abdul Ghani, 66, bagaimanapun berkata, beliau berharap agar proses pengundian pada 11 Mei ini berlangsung dengan baik.

“Hari ini tugas terakhir saya. Jadi, saya mendoakan supaya perjalanan proses pilihan raya dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.

“Walaupun saya sudah tidak bersama SPR, tetapi jiwa dan hati saya bersama dengan mereka,” katanya ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Rejimen Semboyan Divisyen Keempat Infantri, Kem Erskine, Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, pelaksanaan pilihan raya dalam tempoh Covid-19 merupakan antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang empat tahun menerajui SPR sejak Ogos 2020.

“Ia (adalah) pilihan raya yang agak mencabar. Peristiwa yang seronok dan tidak lupa apabila kes di Melaka yang mana pegawai pengurus SPR kena Covid-19. Apabila menerima borang pencalonan, dia terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dengan lengkap di (berada) dalam van bergerak SPR.

“Banyak lagi peristiwa yang lain tapi berkat kerjasama daripada pihak KKM dan semua jabatan terlibat, kita dapat melaksanakan pilihan raya dengan baik,” ujarnya.

Mengulas mengenai persaraannya, Abdul Ghani berkata, meskipun mengakui menerima dua tawaran, namun dia membuat keputusan untuk berehat dan menumpukan masa bersama keluarga.

“Setakat ini saya terima dua tawaran tetapi tidak memberikan apa-apa jawapan (kerana) kalau boleh ingin berehat dahulu. kalau masih sihat, masih boleh mnyumbang, saya akan cuba tetapi itu bukan janji saya,” jelasnya.

Untuk rekod, Abdul Ghani yang sebelum memegang jawatan sebagai Setiausaha SPR dilantik sebagai pengerusi pada 21 Ogos 2020 serta pernah mengendalikan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI