fbpx

Usaha banteras rasuah satu pertarungan dahsyat – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) ketika merasmikan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Usah membanteras gejala rasuah yang menyebabkan kerugian ratusan bilion ringgit kepada negara disifatkan sebagai satu pertarungan dahsyat berikutan berdepan pelbagai tohmahan, serangan serta melibatkan isu keselamatan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, budaya rasuah tidak boleh dipandang ringan di mana ia memerlukan usaha keras selain undang-undang kukuh serta politik jelas untuk membanterasnya.

“Saya percaya keluarga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahu bagaimana kadang-kadang mereka terpaksa hadapi serangan, tohmahan dan juga isu keselamatan dalam pertarungan ini, ia pertarungan yang dahsyat.

“Sebab itu, saya hadir untuk berikan dokongan bagi pihak kedua Timbalan Perdana Menteri dan menteri yang lain bagi menzahirkan pendirian bukan sekadar meluncurkan satu lagi strategi.

“Kalau lihat sejak merdeka, berapa puluh strategi ada, berapa puluh rancangan pembanterasan, berapa pelan ada, walhal hasil rasuah masih membengkak dan merebak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ekoran itu, Malaysia memerlukan kesungguhan dan tekad ikhlas bagi memerangi rasuah memandangkan ia merupakan satu dasar yang perlu bagi menyelamatkan negara dan rakyat.

“Jadi, saya yakin, sebagai tunggak SPRM bersama badan penguatkuasaan, ambil ini sebagai tanggungjawab dan satu kekuatan baharu,” katanya.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai NACS 2024-2028, Anwar berkata, sebanyak lima strategi digariskan kerajaan melibatkan aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan selain ganjaran dan insentif.

“Bagi aspek pendidikan, anak-anak sekolah mesti dilatih untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa. Di universiti dan dalam kalangan rakyat, mesti ada program pendidikan meluas supaya ada sikap (tolak rasuah).

“Sekarang ini, orang rasuah kerana dia kaya, dia bagi habuan. Kita solat, setiap tahun pergi umrah, tetapi soal nilai antara hak dan batil, amal makruf dan mungkar tidak dapat dibezakan. Sebab itu, saya kata, peningkatan ilmu dan kefahaman ialah sangat penting,” jelasnya.

Terdahulu, pelancaran NACS 2024-2028 dilancarkan bagi menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang telah berakhir pada Disember 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI