fbpx

Jenazah seniman ulung Hail Amir selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Hail Amir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, pukul 11 pagi, hari ini. - SYAKIR RADIN

AMPANG – Jenazah Allahyarham Datuk Hail Amir, 76, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, pukul 11 pagi, hari ini.

Sebelum itu, jenazah Hail atau nama sebenarnya, Abdul Hail Amir selesai diurus dan disolatkan di Masjid Ukay Perdana.

Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat hadir sejak awal pagi tadi bagi memberi penghormatan terakhir buat penyanyi dan pelakon popular era 1970-an itu.

Antara rakan artis yang hadir termasuklah Uji Rashid, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Yusof Haslam, Datin Salwa Abdul Rahman, Mubarak Majid, Abon dan ramai lagi.

Ahli keluarga Allahyarham Hail Amir reda dengan pemergian seniman yang sangat berjasa kepada kemajuan industri muzik tanah air itu. – SYAKIR RADIN

Semalam, Allahyarham Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira pukul 3.48 petang semalam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata itu terkenal di layar perak.

Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran datuk pada 2022 – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI